Friday, December 17, 2010

TIPS MENGAMBIL HATI PASANGAN

Keharmonian rumahtangga terletak di tangan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Jika anda saling memahami dan menghormati antara satu sama lain, insyaAllah rumahtangga anda akan sentiasa aman dan bahagia.

Tips mengambil hati suami

  1. Sentiasa berhias untuk suami. Bersiap dan berhias menunggu kepulangan suami. Sentiasa menjaga kecantikan diri seperti masa berkasih-kasih dahulu.
  2. Memahami hobi suami dan sentiasa memberi dorongan selagi ia memberi manfaat dan menggembirakan suami anda tetapi berbincanglah jika hobi berkenaan terlalu memakan masa untuk anda bersama atau suami anda terlalu boros untuk hobi tersebut.
  3. Menyediakan hidangan dan minuman untuk suami tanpa perlu disuruh

Tips mengambil hati isteri

  1. Memberi hadiah kepada isteri. Walaupun nilainya cuma beberapa ringgit tetapi ia akan dihargai oleh pasangan anda
  2. Memuji masakan isteri anda. Memasak dan menguruskan kerja-kerja rumah adalah pengorbanan yang besar dilakukan oleh isteri anda.
  3. Temankan isteri anda membeli-belah dan memberi pendapat anda apabila diminta
  4. Selalu memeluk dan membelai isteri. Sebelum kahwin haram pegang tangan tapi ramai yang buat, bila lepas kahwin nak sentuh isteri pun susah.
  5. Memuji kecantikan isteri apabila dia berhias. Jangan sekali-kali memuji kecantikan perempuan lain didepannya. Ini akan membuatkan isteri anda berkecil hati dan berasa kekurangan.

8P TIP KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA

1. P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.

2. P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.

3. P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.

4. P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.

5. P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.

6. P keenam membawa maksud 'pergaulan' iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

7. P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.

8. P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.

Ust. Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama.

Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.

Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.

"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.